Panduan Dan Syarat Pengeluaran KWSP Untuk Buat Rumah

Panduan dan syarat pengeluaran KWSP untuk buat rumah kediaman sendiri. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa anda boleh mengeluarkan KWSP anda untuk bina rumah kediaman. Sebenarnya ada 17 jenis pengeluaran KWSP sebelum umur bersara yang boleh anda buat. Kali ini kami akan kongsikan panduan dan syarat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk buat rumah.

Sila baca juga info mengenai pengeluaran KWSP umur 50 tahun untuk anda yang mungkin sudah mencapai had umur tersebut.

panduan pengeluaran KWSP akaun 2 untuk buat rumah

Pengeluaran KWSP Untuk Bina Rumah

Akaun KWSP yang terlibat ialah Akaun 2. Pastikan anda buat semakan jumlah simpanan Akaun 2 KWSP anda sebelum membuat proses pengeluaran untuk tujuan membina rumah.

Maklumat yang dikongsikan di bawah adalah panduan dan syarat membuat pengeluaran KWSP untuk tujuan ini.

Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk membiayai pembinaan sebuah rumah. Ini membolehkan ahli memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah sebagai tempat perlindungan apabila bersara.

Kelayakan Memohon

Kelayakan memohon adalah seperti di bawah.

  1. Ahli bertaraf Warganegara Malaysia ATAU Bukan Warganegara
  2. Ahli belum mencapai umur 55 Tahun pada tarikh permohonan
  3. Ahli masih mempunyai simpanan dalam Akaun 2 (minimum RM 500.00)

Syarat Pengeluaran

  1. Ahli membina sebuah rumah kediaman / rumah kampung di atas tanah milik sendiri atau milik suami / isteri; ATAU Suami / isteri ahli membina sebuah rumah / rumah kampung di atas tanah milik ahli; ATAU Ahli membina rumah panjang (bagi Sabah & Sarawak); ATAU Ahli membina sebuah rumah di atas tanah FELDA atau tanah milik agensi kerajaan lain yang diiktiraf, dengan syarat mendapat pengesahan daripada agensi tersebut untuk menentukan status pemilikan tanah
  2. Pembiayaan pembinaan rumah melalui : Pinjaman perumahan daripada mana-mana institusi seperti berikut :-
    • Institusi kewangan yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013
    • Kerajaan Pusat / Negeri atau lain-lain agensi kewangan kerajaan
    • Majikan ahli
    • Koperasi / syarikat kerjasama yang berlesen (diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia)
    • Syarikat Insurans berlesen yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia
    • Pemberi pinjaman yang dibenarkan oleh KWSP; ATAU
    • Secara tunai
  3. Ahli telah menandatangani Surat Perjanjian Membina Rumah tidak melebihi tiga (3) tahun dari tarikh permohonan diterima.
  4. Ahli tidak pernah membuat Pengeluaran Perumahan; ATAU Ahli telah membuat pengeluaran untuk membina rumah pertama dan telah menjualnya atau berlaku pelupusan pemilikan dan kemudian membina rumah kedua. Bukti penjualan / pelupusan pemilikan rumah pertama perlu dikemukakan
  5. Kos membina rumah adalah amaun yang dinyatakan di dalam Surat Perjanjian Membina Rumah. Kos membeli tanah juga boleh diambil kira dengan syarat tarikh Perjanjian Jual Beli Tanah adalah dalam tempoh dua (2) tahun dari tarikh Perjanjian Membina Rumah
  6. Ahli membeli tanah dan membina rumah di atasnya serentak secara pakej (tarikh perjanjian beli tanah dengan tarikh perjanjian bina rumah hendaklah dalam tempoh 6 bulan)
  7. Ahli tidak layak memohon sekiranya :-
    • Membeli tanah atau lot tapak rumah sahaja
    • Mengubahsuai, membaiki atau membuat kerja-kerja tambahan kepada rumah yang sedia ada
    • Mengambil pinjaman berbentuk Overdraf
    • Membeli rumah ketiga
    • Membeli rumah di luar negara
    • Membina rumah bersama individu lain yang tiada pertalian suami-isteri

Kaedah Bayaran

A. Bayaran Dalam Malaysia

Bayaran pengeluaran akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank ahli dengan syarat :-

  • Ahli mempunyai akaun bank yang aktif dengan panel KWSP yang dilantik; DAN
  • Nombor pengenalan diri ahli adalah sama dengan rekod bank
  • Bayaran dibuat dalam matawang Ringgit Malaysia (RM)
  • Sekiranya bayaran tidak berjaya dikreditkan ke dalam akaun bank ahli, bayaran akan dibuat melalui Cek Jurubank

B. Bayaran Luar Malaysia

Bayaran adalah melalui Draf Bank Asing.
Jenis matawang adalah seperti berikut :-

  • Matawang asing mengikut pilihan ahli di dalam borang permohonan dengan syarat matawang tersebut ada disenaraikan oleh KWSP bagi tujuan bayaran secara Draf Bank Asing; ATAU
  • Dalam matawang US Dollar sekiranya jenis matawang yang dipohon oleh ahli dalam borang permohonan tiada dalam senarai KWSP bagi tujuan bayaran secara Draf Bank Asing

Dokumen Diperlukan

Berikut adalah dokumen-dokumen yang diperlukan untuk pengeluaran KWSP untuk bina rumah.

  1. Borang Pengeluaran KWSP 9C (AHL)(D5)
  2. Salinan dokumen pengenalan diri (jika bukan pemegang Mykad)
  3. Maklumat Akaun bank (Ahli digalakkan membawa buku akaun bank / penyata akaun bank / salinan akaun semasa membuat permohonan pengeluaran)
  4. Borang KWSP 3 (pindaan) – jika pengecaman cap ibu jari gagal di kaunter / permohonan melalui pos

Dokumen Sokongan

Selain dokumen yang tersenari di atas anda juga perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti berikut.

  1. Sila rujuk Senarai Semak Dokumen Pengeluaran Membina Rumah di laman web KWSP atau pejabat KWSP untuk semua dokumen yang diperlukan.
  2. KWSP berhak meminta apa-apa dokumen tambahan dan menolak permohonan yang tidak lengkap dan tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan

Maklumat Lanjut

Anda mungkin masih perlukan maklumat lanjut. Sila layari maklumat terperinci di laman website rasmi KWSP.

Selain ini senarai link-link di bawah adalah pautan untuk dokumen-dokumen dan info penting

Semoga perkongsian mengenai cara dan syarat pengeluaran KWSP untuk buat rumah ini bermanfaat kepada anda. Sila like dan share maklumat ini.