Peraturan Cermin Gelap JPJ & Peratus Ketelusan Cahaya (VLT)

Peraturan baru cermin gelap JPJ dan Peratus Ketelusan Cahaya (VLT) yang perlu dipatuhi pemilik kenderaaan. Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan pindaan baru peraturan cermin gelap JPJ 2019 untuk kenderaan motor. Peraturan spec tinted kereta JPJ yang baru ini berkuatkuasa serta merta.

Menteri Pengangkutan YB. Anthony Loke dalam kenyataanya berkata peraturan baru ini akan mula berkuatkuasa bermula 8 Mei 2019. Walau bagaimanapun penguatkuasaan hanya akan dibuat bermula tiga (3) bulan dari tarikh peraturan ini dikuatkuasakan.

Peraturan Lama Cermin Gelap JPJ

Dalam peraturan sedia ada menetapkan peratusan ketelusan cahaya (VLT) begi cermin depan kenderaan adalah 70%, cermin sisi kiri dan kanan pemandu ialah 50%, manakalau cermin sisi kiri dan kanan serta cermin belakang penumpang adalah 30%.

peraturan cermin gelap JPJ lama
Peraturan cermin gelap JPJ sebelum ini

Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, pindaan yang dibuat bertujuan meningkatkan aspek ketelusan proses pertimbangan ke atas permohonan menggunakan cermin yang lebih gelap disamping menyumbang untuk meningkatkan hasil kerajaan.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai pindaan ini, katanya, ia akan melibatkan perkara-perkara utama iaitu pindaan ke atas VLT menerusi cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang. Pada masa ini, peraturan semasa menetapkan bahawa VLT bagi cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang adalah pada kadar 30%.

Peraturan JPJ Untuk Cermin Gelap  Yang Baru

Berdasarkan pindaan tersebut, ia akan membenarkan penggunaan lapisan cermin gelap yang mana VLT menerusi cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan boleh kurang daripada 70% cahaya tampak dengan syarat bahawa kenderaan itu dilengkapi dengan cermin pemantul kanan dan kiri (side mirrors). Walau bagaimana pun, VLT pada cermin hadapan dan cermin sisi kanan dan kiri pemandu adalah masih kekal seperti sedia ada.

“Kebenaran ini hanyalah untuk kenderaan motor milik persendirian sahaja. Kenderaan motor yang didaftar dan digunakan untuk pengangkutan awam dan barangan, VLT tidak boleh kurang daripada 70%.

Ini bermaksud, cermin selain daripada cermin hadapan dan cermin sisi kiri dan kanan pemandu boleh kurang daripada 70% cahaya tampak ataupun kurang daripada 30% berdasarkan peraturan semasa, dengan syarat terdapat dua cermin side mirror (kiri dan kanan) dipasang pada kenderaan tersebut,” ujar Loke.

Peraturan cermin gelap JPJ
Peraturan cermin gelap JPJ Malaysia yang baru

Dalam pada itu ada makluman bahawa permohonan dan pemprosesan untuk kelulusan penggunaan cermin lebih gelap dari yang dibenarkan akan dikenakan yuran khas untuk meningkatkan hasil kerajaan. Dianggarkan pendapatan yuran permohonan dan pemprosesan untuk ini adalah lebih kurang RM6 juta setahun kepada negara.

Menteri Pengangkutan berkata “Mana-mana individu boleh memohon untuk menggunakan cermin yang lebih gelap (sama ada menerusi menggunakan lapisan filem atau penggunaan kaca yang lebih gelap) yang menjadikan peratusan cahaya tampak adalah kurang berbanding peraturan (atau lebih gelap) atas sebab-sebab yang khusus seperti faktor keselamatan atau faktor kesihatan.

Bagi setiap permohonan yang dikemukakan di atas faktor keselamatan, akan dikenakan fi perkhidmatan sebanyak RM50 bagi setiap permohonan. Manakala setiap permohonan yang diluluskan pula akan dikenakan fi sebanyak RM5,000. Setiap kelulusan yang diberikan adalah untuk tempoh selama dua tahun. Individu yang telah diluluskan bagi penggunaan cermin lebih gelap hendaklah memohon semula apabila tempoh sah laku tamat dan akan dikenakan fi yang sama dalam setiap permohonannya.”

Terdapat pengecualian tertentu seperti atas faktor kesihatan, bagaimanapun permohonan hendaklah mendapat pengesahan bertulis dari pakar perubatan kerajaan. Yuran permohonan dan pemprosesan untuk ini tidak akan dikenakan sebarang bayaran.

“Dengan pindaan VLT pada cermin sisi kiri dan kanan di bahagian penumpang serta cermin belakang kenderaan, ia akan membolehkan orang ramai untuk menggunakan cermin yang lebih gelap berbanding peraturan semasa. Maka, ketetapan baharu ini tidak akan lagi menimbulkan keperluan kepada majoriti pemilik kenderaan sedia ada untuk menggunakan cermin yang lebih gelap daripada yang telah ditetapkan,” ujar Loke.

Tambahnya lagi, namun demikian, penggunaan lapisan filem atau cermin yang lebih gelap di bahagian cermin sisi kiri dan kanan serta cermin hadapan pemandu akan mengganggu keupayaan pemandu untuk melihat dan mengawal kenderaannya dengan selamat serta meningkatkan risiko berlakunya kemalangan terutamanya dalam keadaan waktu kurang cahaya sama ada disebabkan oleh hujan atau pemanduan di waktu malam.

Semoga perkongsian mengenai peraturan cermin gelap JPJ Malaysia untuk kenderaan motor ini bermanfaat kepada anda. Sila kongsikan maklumat ini kepada rakan-rakan yang lain.

Sila like dan share info ini.


Info Berkaitan: