Permohonan Bantuan Kewangan JKM Online Dan PROJEK RINTIS (2YEP)

Borang permohonan bantuan kewangan JKM online, Projek Rintis (2YEP) dan Bantuan Kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta panduan cara membuat permohonan secara online/atas talian. Pernahkah anda berjumpa dengan individu-individu yang memerlukan bantuan kewangan? Jika pernah anda boleh beri panduan cara-cara membuat permohonan bantuan kewangan dari pihak JKM secara online.

Oleh kerana maklumat ini amat penting untuk masyarakat, kami mengambil keputusan untuk menulis panduan permohonan online bantuan kewangan JKM dan Projek RINTIS untuk makluman dan rujukan anda.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM)

Mungkin ada yang belum mengetahui/mengenali JKMM. Berikut adalah sedikit maklumat latar belakang mengenai sejarah penubuhan JKM dan fungsi-fungsinya – Sumber Wiki

Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) telah ditubuhkan dalam tahun 1946. JKM ditubuhkan/diwujudkan untuk bertujuan menjaga kebajikan mereka yang memerlukan bantuan berlandaskan lima teras utama iaitu perlindungan, pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian.

Kumpulan sasaran utama dalam penubuhan JKM adalah lapan (8) yang utama seperti berikut:

1. Kanak-kanak
2. Orang kurang upaya
3. Warga tua
4. Keluarga bermasalah
5. Orang papa/fakir
6. Pertubuhan sukarela kebajikan (PSK)
7. Mangsa bencana

Projek RINTIS (2YEP)

Projek RINTIS ialah skim / program bantuan yang telah dilancarkan oleh pihak JKM sejak tahun 2014/2015 yang juga lebih dikenali sebagai 2 YEAR EXIT PROGRAM (2YEP).Borang permohonan bantuan kebajikan masyarakat JKM online

Tujuan program RINTIS/2YEP ialah sebagai satu exit policy untuk menggalakkan penerima bantuan Jabatan yang produktif agar berdikari melalui penglibatan secara aktif dalam pekerjaan atau program menjana pendapatan tanpa bergantung kepada bantuan sebagai saraan hidup.

Dalam erti kata lain program RINTIS @ 2YEP ini direka khas untuk membantu golongan sasar untuk meningkatkan taraf hidup dan tidak perlu lagi bergantung selamanya dari bantuan JKM. Seperti kata pepatah Cina ‘Kalau sesorang minta ikan, ajarnya cara memancing supaya dia boleh memancing ikan sendiri pada masa akan datang’.

Buat masa ini permohonan online PROJEK RINTIS hanya dibuka kepada 5 negeri berikut iaitu PERLIS, WP KUALA LUMPUR, WP LABUAN, SELANGOR & KEDAH. Pemohon-pemohon dari negeri-negeri yang tidak disenaraikan boleh berhubung terus dengan pejabat JKM yang terdekat dengan anda menggunakan cara / sistem permohonan seperti biasa iaitu isi borang permohonan. Kita akan berikan panduan mengenai cara memohon secara manual di bahagian bawah artikel ini.

Objektif Program RINTIS @ 2YEP

Pelancaran program RINTIS ini di buat berasaskan 5 objektif yang utama. Objektif-objektif utama 2YEP ialah seperti berikut:

1. Pembangunan klien produktif dalam tempoh 2 tahun
2. Pemerkasaan klien dalam meningkatkan kefungsian mereka ke arah berdikari
3. Platform penjanaan pendapatan bagi klien produktif
4. Pengurangan perbelanjaan bantuan bulanan atau langkah penjimatan kewangan kerajaan
5. Meningkatkan jumlah klien yang berjaya ditamatkan bantuan kerana telah mampu berdikari dan keluar dari kepompong kemiskinan

Strategi Pelaksanaan

Pelaksaan Projek Rintis ini telah mengariskan tujuh (7) strategi pelaksanaan. Di bawah adalah strategi-strategi pelaksanaan untuk makluman anda.

1. Pemberian bantuan maksimum 2 tahun;
2. Bantuan yang diluluskan kepada klien bersekali dengan pakej berdikari di bawah Productive Welfare;
3. Mewujudkan Jawatankuasa Penilaian 2YEP peringkat Negeri/ Daerah;
4. Pemantapan pengurusan kerja kes “case management” melalui seliaan yang berkala dan berjadual (setiap bulan) sepanjang tempoh 2 tahun untuk membimbing klien ke arah berdikari;
5. Penglibatan klien secara aktif dalam bidang latihan, kemahiran, penempatan pekerjaan atau program-program menjana pendapatan;
6. Membina rangkaian kerjasama multi sektoral dalam membangun klien ke arah berdikari;dan
7. Pemberian insentif, ganjaran dan peneguhan positif kepada klien dan pekerja kes yang berjaya

Daripada strategi pelaksanaan ini kita boleh melihat bahawa Projek Rintis ini jika dapat dilaksanakan dengan jayanya mempunyai peluang yang tinggi untuk berjaya membantu penerima bantuan  bulanan kebajikan masyarakat mampu berdikari pada masa akan datang.

Fokus Kumpulan Sasar Projek Rintis

Siapakah fokus atau kumpulan sasaran Projek Rintis? Menurut dokumen pelaksanaan Projek Rintis, fokus utama atau kumpulan sasar program ini ialah seperti berikut:

Klien penerima bantuan yang produktif iaitu :
• Kesihatan : sihat tubuh badan dan mental
• Umur : berusia di antara 18 – 55 tahun
• Keupayaan : mampu bekerja, bermotivasi tinggi dan boleh dibangunkan ke arah berdikari (keutamaan diberikan kepada yang telah memulakan projek/perniagaan)
• Skim Bantuan : fokus kepada penerima skim bantuan berikut iaitu :
a. Bantuan Kanak-Kanak (BKK);
b. Elaun Pekerja Cacat (EPC); (Keutamaan kepada penerima yang mempunyai pendapatan RM900-RM1000/RM1200)
c. Bantuan Am (BA)

Cara Memohon Bantuan JKM Online

Bagaimana untuk memohon menyertai Projek Rintis?  Untuk mendaftar menyertai Projek Rintis @ 2YEP permohonan boleh dibuat secara online, sila klik >>> Borang Permohonan Online PROJEK RINTIS

Borang permohonan Online bantuan kebajikan masyarakat JKM

Selepas membuan permohonan online di portal yang disediakan oleh pihak JKM anda mestilah membawa dokumen-dokumen berikut (rujuk senarai di bawah) hadir ke Pejabat JKM.

a) Salinan MyKad/ Kad Pengenalan Pemohon;
b) Salinan MyKad /Kad Pengenalan ahli keluarga yang tinggal bersama;
c) Salinan Kad OKU/ slip pendaftaran sementara OKU;(Jika Kategori OKU)
d) Salinan penyata pendapatan /surat akuan pendapatan;(jika bekerja sendiri)
e) Salah satu Bil Utiliti (air/elektik/telefon/astro)
f) Laporan pegawai perubatan dari hospital/klinik kesihatan kerajaan/swasta (bagi kesOKU tidak bekerja/ terlantar/kronik/alat tiruan)

Nota: Sila hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat mengikut Daerah mana yang dipohon dalam tempoh 14 hari dari permohonan dibuat diatas talian. Kegagalan berbuat demikian sistem akan membatalkan permohonan tersebut secara automatik.

Semakan Status Permohonan Bantuan JKM Online

Anda boleh membuat semakan status permohonan online anda dari masa ke semasa untuk mengetahui sama ada permohonan anda diluluskan atau sebaliknya.  Semakan bantuan JKM ini boleh dibuat secara online di portal >>> Semakan Status Permohonan Bantuan

Semakan bantuan JKM online

Sila ikuti arahan-arahan cara-cara membuat semakan status bantuan JKM di bawah:
Sila masukkan No.Kad Pengenalan dan klik butang Semak.
Senarai hanya akan memaparkan status bantuan yang telah dipohon atau sedang diterima.
Untuk keterangan lanjut mengenai bantuan yang telah dipohon, sila hubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Bahagian/Jajahan di mana permohonan bantuan ini dibuat.

Untuk maklumat-maklumat berkenaan tarikh pembayaran bantuan kebajikan JKM anda boleh berhubung terus dengan pihak JKM menggunakan maklumat perhubungan di bahagian bawah  artikel ini.

Permohonan Bantuan Kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Kepada pemohon yang berasal dari negeri yang bukan tersenarai dalam program Projek Rintis @ 2YEP anda boleh memohon bantuan kebajikan masyarakat JKM menggunakan borang yang boleh anda download secara online di sini.

Anda boleh download borang permohonan (pdf)  tersebut, isikan butiran yang diperlukan secara terperinci dan tepat dan hantar ke pejabat JKM yang terdekat dengan anda. Anda juga boleh meminta borang permohonan di pejabat JKM yang terdekat dengan anda. Borang permohonan adalah percuma.

Download borang permohonan (pdf) bantuan kebajikan masyarakat di bawah:

a. Borang Permohonan Bantuan Kewangan (JKM 18)
b. Borang Kajian Semula Bantuan Kewangan (JKM 20)

Nota: Setiap bantuan yang diluluskan adalah dalam tempoh satu (1) tahun sahaja. Adalah menjadi tanggungjawap tuan/puan untuk mengembalikan borang kajian semula (JKM 20) dalam tempoh Tiga (3) bulan sebelum tempoh bantuan tamat. Kegagalan mengembalikan Borang JKM 20 mengikut tempoh ditetapkan akan menyebabkan bantuan yang diterima tidak dapat diteruskan

Syarat Kelayakan Memohon Bantuan Kewangan JKM

Siapakah yang layak atau boleh memohon bantuan kebajikan / kewangan JKM? Jika anda menepati syarat kelayakan seperti yang tersenarai di bawah anda digalakkan memohon. Semua permohonan yang dibuat perlu memenuhi syarat asas kelayakan seperti berikut:

a. Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia
b. Pendapatan keluarga di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa
c. Golongan yang tidak berkemampuan dan berkeperluan dengan mengambilkira  lain-lain faktor seperti bilangan anak/tanggungan yang tinggal bersama dan berasingan, tahap ketidakupayaan ketua  keluarga atau ahli keluarga, sokongan dari ahli keluarga, keadaan dan kelengkapan rumah berdasarkan keperluan keluarga dan faktor-faktor lain yang munasabah serta boleh memberikan gambaran kedudukan kewangan dan perbelanjaan harian pemohon/keluarga.

Cara Menghubungi JKM

Jika anda ingin menghubungi terus Jabatan Kebajikan Masyarakat anda boleh gunakan alamat perhubungan di bawah:

Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia
Aras 6, 9 – 18
No 55, Persiaran Perdana
Presint 4,
62100 Putrajaya
E-mel : helpdesk.ebantuan@jkm.gov.my
Website: http://www.jkm.gov.my/
Telefon : 03 – 8000 8000
Faks : 03 – 8323 2045

Semoga perkongsian mengenai panduan permohonan online bantuan kewangan JKM dan Projek Rintis @ 2YEP ini bermanfaat kepada anda. Sila kongsikan maklumat ini kepada orang lain untuk panduan dan makluman mereka.